Monday, April 18, 2011

Ingin Hati Melukis Kata

SiNoPsIs: Menjangkau usia yang lewat membuatkan perkahwinan menjadi tuntutan. Hati mungkin belum dibuka namun hati keluarga yang sudah terlalu luas bukanya harus dijaga. Atas sebab itulah Ainsya Najma, gadis yang mendapat gelaran andartu diam menerima pilihan ibu. Begitu juga Ruzaiman, bujang terlajak akur saja dengan kehendak ibu. Namun tulisan takdir tidak seiring.

Ainsya Najma, gadis yang hanya tahu setuju, tiba-tiba menolak perkahwinan yang bakal berlangsung dua minggu lagi. Dia tidak boleh teruskannya! Dia cuba lari daripada kenyataan, namun kenyataan takkan pernah tinggalkannya. Dia perlu juga menjadi raja sehari dalam dua minggu itu—dengan pengantin lelaki berbeza! Dia kenal Solehandin sekian lama, namun lelaki itu memberi nanar dan kini Raimi hadir untuk cuba mengubati.

Ruzaiman, sukar untuk cinta mengulit hatinya walau dihidang berpuluh gadis cantik, termasuklah Jazshira, si model lampai terkenal. Namun, atas kemahuan mama, dia jalinkan juga hubungan, tanpa getaran dalam hati. Dia tahu tiada cinta untuk Jazshira namun dia terperangkap juga dalam kancah percintaan ciptaan sendiri, sehinggalah hadirnya Fadxiora, menggetar hati dan sukma.

Apakah Ainsya Najma akan membuka peluang kedua untuk Raimi? Adakah Ruzaiman akan mendapatkan cinta Fadxiora yang menggetar hati? Dan, mungkinkah peluang itu ada untuk insan asing menjadi dekat apabila hati sudah melukis kata, bahawa cinta sudah ada…?

PrOmO:


“Weh, makan kat sini nampak? Mimpi apa? Rindu kat aku eh?” Ezmira menyergah Ruzaiman dari belakang dengan menepuk bahu jejaka itu.


Gulp! Tertelan liur Ruzaiman memandang Ezmira yang sedang tersengih sambil keningnya diangkat-angkat. Manakala Fadxiora pula terpinga-pinga dengan sapaan Ezmira secara spontan itu.


Mereng! Kacau daun sajalah minah senget ni. Asal aku ada saja, dia mesti ada. Tak dak restoran lain ka yang hang nak pi? Aduh! Ruzaiman menggumam di dalam hati.


“Jangan merepeklah. Tak dak masa nak rindu kat hang.” Ruzaiman sudah mula menggunakan loghat yang serupa dengan Ezmira, membuatkan Fadxiora semakin terpinga-pinga.


“Amboi! Mentang-mentanglah ada puteri kayangan, puteri di bumi hang nak lupakan ya. Aku belasah karang baru tau. Bila muka lempeng basi mai jumpa aku, bila muka manis lupakan aku. Bertuah!” Ezmira mula menjahit benang-benang usikannya. Tersengih Ruzaiman mendengar kata-kata daripada Ezmira.


“Hang tak boleh bagi can ka? Asal aku ada saja hang mesti muncul. Pilah duduk kat kawan-kawan hang tu. Tak kacau aku tak boleh ka?” Kini medan percaturan kata sudah berada di dalam kontinya.


“Aku mana boleh tak kacau hang, nanti aku rindu. Kalau aku dah rindu, susah aku nak hilangkan dahaga rindu tau,” ujar Ezmira dalam gaya cukup mengada-ada sambil memegang mesra lengan Ruzaiman.


Ezmira memang biasa bergurau sebegitu dengan Ruzaiman. Hanya dengan Ruzaiman sahaja dia selesa bergurau dalam apa jua cara tanpa batasan. Sambil-sambil itu Ezmira menjeling ke arah Fadxiora yang sedang menyaksikan tayangan perdana filem romantik. Semakin tercengang-cengang Fadxiora melihat ke arah mereka.


“Mengada-ada betullah hang ni. Lepaslah, nanti ada orang bagi tau kat laki hang, aku tak tau. Kan dah jadi kontroversi dan spekulasi.” Ruzaiman cuba menjaga hati Fadxiora di kala itu. Cewah!


“Takut kontroversi dan spekulasi ke... takut orang sana terasa hati?” Ezmira mengenyitkan mata.

No comments: