Friday, September 25, 2009

Benci Tapi Rindu


SINOPSIS

Impian Norziati hendak menjadi model akhirnya tercapai apabila Syaferry Agensi membuat ujibakat secara terbuka. Namun, Syafrizal pemilik agensi itu telah menolak Norziati bulat-bulat dek kerana wajah gadis itu tidak memenuhi kriteria yang dicari oleh agensinya walaupun bakat Norziati memang menyerlah.

Norziati tidak berputus asa, lalu dia merawat wajahnya atas cabaran Syafrizal dan datang semula untuk sesi ujibakat. Syafrizal tetap dengan egonya tidak mahu mengambil Norziati namun Erry rakan kongsi Syafrizal berkeras menerima Norziati kerana gadis itu memiliki bakat semula jadi yang luar biasa dalam bidang ini. Syafrizal terpaksa akur.

Perbalahan demi perbalahan sering terjadi antara Syafrizal dan Norziati walaupun gadis itu sudah melakukan yang terbaik untuk agensinya. Tidak cukup dengan itu, gelaran demi gelaran saling dilemparkan di antara satu sama lain membuatkan agensi itu tidak sunyi dengan kerenah kedua-duanya yang amat mencuit hati.

Sehingga bilakah perbalahan ini akan berakhir? Walaupun bibir mengucap benci namun masihkah ada rindu yang hadir di antara mereka berdua?


PrOmO:

“Kau memang dah benarkan ke gelaran tu menjadi milik kau?” Zuliahana kembali melebarkan sengihannya. Terangkat seketika mata Norziati.

“Gelaran apa?” Norziati tidak puas hati.

“Pingu. Kih, kih, kih.” Zuliahana ketawa lagi.

“Weh, aku pelangkung kau kang. Siapa suruh kau guna gelaran tu kat aku?” Norziati mula mengganas sambil menarik leher Zuliahana.

“Weh, mati aku macam ni. Bukan aku yang guna tapi kau sendiri yang cakap.” Zuliahana membela dirinya.

“Bila masa aku cakap?” Norziati masih ingin mengelak dan mempertahankan dirinya.

“Tadi tu... Lepas tu, barulah aku boleh tunjuk kat mamat tudung saji tu yang Pingu ni bukan sebarang Pingu. Pingu Gee adalah Pingu yang bernilai,” ajuk Zuliahana.

Norziati sudah mengagak yang Zuliahana tidak akan mengalah dalam mengenakannya. Aduh! Macam mana dia boleh tidak tersedar dengan mengeluarkan ayat itu?

“Tak ada maknanya. Aku tak cakap pun. Aku benci dengan tudung saji tu. Kalau dah aku benci, takkan aku nak membenarkan gelaran tu menjadi milik aku?” Norziati masih ego.

“Benci tapi rindu ek...?” Zuliahana tidak puas menyakat.

“Betul-betul nak kena pelangkung kau ni.” Norziati sudah bangun dari perbaringannya, begitu juga dengan Zuliahana.

“Betullah tu... kau benci tapi rindu,” ulang Zuliahana sambil melarikan diri ke dalam biliknya sendiri. Tidak sempat Norziati mengejarnya.

“Hantu kau, Zulia. Aku tak pernah rindu kat dialah. Aku benci!!!” jerit Norziati sekuat hati sebelum mengunci pintu biliknya kerana dia tidak mahu ada sebarang gangguan selepas ini.

Sementara itu di dalam bilik, Zuliahana ketawa berdekah-dekah. Gelagat Norziati benar-benar menghiburkan hatinya dan lenyaplah sudah kesunyian yang bertandang selama gadis itu tiada.

No comments: