Saturday, June 28, 2008

Janji Seorang Puteri


SiNoPsIs :

Puteri Ezza yang memiliki wajah hodoh sering disisihkan oleh kakaknya, Puteri Ezna. Puteri Ezna tidak mahu bermain dengan Puteri Ezza dan sering menghinanya. Macam-macam Puteri Ezna lakukan kepada Puteri Ezza demi untuk menjatuhkan adiknya itu.

Suatu hari, Puteri Ezza bertemu dengan seorang pemuda yang berwajah hodoh. Memandangkan pemuda itu juga tidak mempunyai kawan dan sering kesunyian, Puteri Ezza tidak ragu-ragu menghulurkan persahabatannya. Puteri Ezza berjanji akan bersahabat dengan pemuda itu sehingga ke akhir hayatnya. Dia tidak akan memungkiri janji yang telah dilafaz. Namun persahabatan Puteri Ezza dan pemuda itu tidak bertahan lama apabila Raja Hashmi iaitu ayah kepada Puteri Ezza menentang persahabatan anaknya.

Mampukah Puteri Ezza mengekalkan persahabatannya dengan pemuda berwajah hodoh itu sebagaimana janjinya?

PrOmO DiAlOg:

Puteri Ezza yang sedang memandang purnama, sedikit terperanjat apabila melihat seekor burung yang pernah dimilikinya sedang mendendangkan sebuah lagu yang cukup sedap di pendengaran telinga. Puteri Ezza amat terhibur dengan telatah burung itu. Sedikit sebanyak kerinduannya pada Arash dapat diubati. Hanya Arash sahaja yang mampu membuatkan burung-burung bernyanyi. Tanpa Arash tidak akan ada burung yang boleh bernyanyi. Kebolehan Arash itu amat mengkagumkan dirinya. Sedang asyik melayani nyanyian burung itu, tiba-tiba Puteri Ezza seperti dapat menangkap sesuatu daripada nyanyian yang sedang didendangkan. Puteri Ezza cuba meneliti apakah yang sedang disampaikan oleh burung itu, lalu dia berdiam diri dan terus mendengar nyanyian burung itu yang agak berulang-ulang. Suara burung itu yang halus menyebabkan Puteri Ezza sukar memahami maksud nyanyian burung itu.

“Wahai burung, cuba kau nyanyikan sekali lagi, apakah yang sedang kau cuba sampaikan kepada aku?” Burung itu seolah-olah faham dengan permintaan Puteri Ezza lalu dia mendendangkan semula nyanyiannya.


Di penjara istana dia ditempatkan
Disiksa dipukul kerana merindui
Setiap kali terkenang sahabat yang jauh di mata
Kerana sahabat sejati sukar diganti.

Meredah jauh onak dan duri
Tidak hirau ribut dan badai
Persahabatan sejati akan dikekalkan
Selagi nyawa dikandung badan
Kerana ia lambang dua hati.

No comments: